top of page
  • Writer's picturefaithfullyasean

Membimbangkan: Faktor wanita, maskuliniti, algoritma online yang berpihak kepada ISIS

Ira Musfirah Mohamed Rashid | Berita Suria | 4 December 2018




SINGAPURA: Kaum wanita di Indonesia semakin berani dan berperanan untuk berjuang dalam pertempuran bagi kumpulan pengganas ISIS.


Ini timbul setelah sekitar 70 peratus daripada 420 orang yang dihantar pulang ke Indonesia dari Syria, merupakan wanita dan kanak-kanak.


Dapatan membimbangkan itu dikongsi Dr Noor Huda Ismail, zamil pelawat di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) dalam satu sesi perbincangan mengenai ISIS.


MASKULINITI ANTARA PENDORONG SERTAI ISIS

Meskipun sebilangan besar wanita didapati cuba bertempur di Syria demi 'jihad', golongan lelaki tetap membentuk majoriti penggempur ISIS.


Malah menurut kajian Dr Noor Huda Ismail, maskuliniti untuk 'melindungi yang lemah' menjadi salah satu pendorong bagi kaum lelaki menyertai ISIS.


"Menyedihkan, orang-orang yang terlibat dalam ISIS itu rata-rata digerakkan oleh alasan yang positif - keinginan membantu - kerana saudaranya tertindas (di Syria)," jelas Dr Noor Huda, tentang kompleksnya isu tersebut dan kekeliruan yang memperdaya penyokong ISIS.


BAHAN RADIKAL MELALUI ALGORITMA ONLINE


Dicabar dengan dunia media sosial yang memudahkan belia menyertai ISIS, algoritma online juga menjadi salah satu faktor bahan radikal mudah menyerap ke dalam minda belia.


Algoritma ini akan berulang kali memaparkan topik kegiatan radikal yang sama jika ia pernah dibuka sekali.


Antara faktor penting lain adalah kaitan rangkaian sosial yang turut memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pelibatan seseorang dengan radikalisme.


Semua perkongsian itu dibentangkan Dr Noor Huda semasa sesi soal jawab setelah tayangan video 'Jihad Selfie' terbitan beliau yang mengupas bagaimana ISIS memikat anggota.


PERLU PEMIKIRAN KRITIKAL BANTERAS PELIBATAN ISIS


Meskipun pelibatan belia terus menjadi trend membimbangkan, usaha celik digital, daya pemikiran kritikal dan dampingan alternatif dapat membantu membanteras budaya berbahaya ini, kongsi beliau.


"Mungkin ada banyak cara untuk menolong orang yang tertindas di Syria, tidak seharusnya dengan angkat senjata, tapi boleh jadi kemudian mengumpulkan harta, membantu secara kemanusiaan atau secara pendidikan. Ada banyak cara lain," kata Dr Noor Huda.


Bagaimanapun, sokongan keluarga dan masyarakat tetap menjadi tulang belakang dalam mencegah belia dari terjebak ke dalam dunia ISIS, menurut beliau lagi.


DR MALIKI: "BUKAN ISU AGAMA ISLAM SAHAJA"


Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman yang turut hadir di sesi tersebut berkata: "Ramai yang memahami bahawa ia adalah satu isu yang kompleks yang bukan sahaja boleh dipengaruhi atau terpengaruh oleh masyarakat Islam sahaja tetapi juga mereka yang datang daripada agama lain.


"Ada yang mengatakan ini bukan isu agama Islam tetapi isu yang mungkin dihadapi oleh agama-agama yang lain."


Lantaran itu, kata beliau, penting untuk berbincang antara agama dalam menangani masalah seperti ini.


Sesi perbincangan itu juga sebahagian daripada program silang agama empat hari dipanggil 'Faithfully ASEAN', anjuran Temasek Foundation Connects, dengan kerjasama RSIS dan WISE SG.

bottom of page