top of page
  • Writer's picturefaithfullyasean

S'pura sebagai pusat dan contoh silang agama

Rayan Abdullah | Berita Harian | 23 December 2018

ACARA PELANCARAN: (Dari kiri) Ketua Eksekutif Temasek Foundation Connects, Encik Lim Hock Chuan; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng; Presiden Halimah Yacob; Menteri Negara Kanan (Pertahanan dan Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman; Pengarah WISE SG, Encik Johnny Leow; dan Ketua Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Negara di RSIS, Dr Shashi Jayakumar, merasmikan logo 'Faithfully Asean'. - Foto WISE SG

BARU-BARU ini, Singapura menjadi tuan rumah program silang agama dengan menghimpunkan ketua dan aktivis berbilang agama dari kesemua negara Asean.


Program unik ini, yang dinamakan 'Faithfully Asean', dibawakan oleh Temasek Foundation Connects (TFC).


Ia dilancarkan oleh Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.


Seramai 42 peserta dari sembilan negara Asean berada di Singapura bagi sebuah daya usaha julung kalinya untuk berkongsi pengalaman dan inisiatif antara agama mereka di negara masing-masing.


Program enam hari ini merangkumi kunjungan dan sesi dialog di Galeri Harmoni dalam Kepelbagaian (HDG), Kuil Buddha Sri Lankaramaya, Gereja Katolik St Mary of the Angels, Kuil Hindu Sri Srinivasa Perumal dan Pusat Keharmonian di Masjid An-Nahdhah.


Menteri Negara Kanan (Pertahanan dan Ehwal Luar) yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Dr Mohamad Maliki Osman, menjadi pengerusi rasmi kedua-dua perwakilan serantau dan peserta setempat, termasuk Pertubuhan Antara Agama (IRO) dan Kumpulan Keyakinan antara Kaum dan Agama (IRCC).


Ciri utama program 'Faithfully Asean' itu ialah siri dialog antara agama 'Common Senses for Common Spaces' (CSCS) yang diilhamkan dan ditangani pada 2016 oleh penggiat kemanusiaan serantau veteran, Encik Hassan Ahmad, dan seorang aktivis antara agama.


Program antara agama CSCS mengamalkan pendekatan sosial, praktikal, bukannya teologi yang secara kreatif dan lembut tertumpu pada penerapan dan amalan agama yang menimbulkan risiko dilema sosial atau tekanan di ruang umum.


"Dialog tentang isu sensitif, seperti bangsa dan agama, memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat.


"Perbincangan demikian perlu diadakan di ruang selamat, supaya masyarakat boleh mencari jawapan bagi soalan-soalan sukar. Kita hanya boleh mendapat jawapan bagi soalan susah jika kita ada kepercayaan, keyakinan dan rasa hormat.


"Jika kita tidak ada kepercayaan, keyakinan dan rasa hormat, sukar hendak mencari penyelesaian bagi soalan-soalan susah. Sebab itu Dialog Antara Agama CSCS ini merupakan komponen utama dalam program hari ini.


"Siri CSCS ialah inisiatif pemimpin masyarakat yang berbincang tentang isu antara agama dan antara budaya tanpa tumpuan terhadap teologi atau ideologi.


"Menerusi perkongsian jujur antara anggota masyarakat dan pemimpin agama, peserta boleh lebih memahami tentang bagaimana agama berbeza diamalkan di Singapura," kata Presiden Halimah pada pelancaran 'Faithfully Asean'.


Satu lagi ciri utama 'Faithfully Asean' ialah Syarahan Terhormat Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) yang turut merangkumi tayangan dan perkongsian filem Jihad Selfie oleh warga Asean terkenal, Dr Noor Huda Ismail, pengkaji antipengganasan dan kini zamil pelawat di RSIS.


Encik Sujadi Siswo memudah carakan Syarahan Terhormat itu.


Jihad Selfie merupakan satu dokumentasi oleh Dr Noor Huda yang meneroka dan mengupas tarikan gerakan ISIS dan pelbagai dorongan di sebalik mereka yang ingin menjadi penjihad dan menyertai kumpulan pengganas.


Dokumentasi padat selama 50 minit ini memaparkan dialog peribadi bersama Dr Noor Huda, khususnya tentang sifat kelelakian yang dianggap mempunyai kecenderungan terhadap penyebab radikal dan keganasan.


"Dialog membina penting dalam menjalin sifat saling memahami, menghormati dan mempercayai. Ini adalah asas masyarakat sepadu, dan Asean bersatu.


"Tahun depan, Singapura akan menganjurkan persidangan antarabangsa pertama tentang perpaduan sosial dan keharmonian antara agama.


"Biar saya mengucapkan terima kasih kepada Temasek Foundation Connects; RSIS; WISE SG; Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY); dan rakan kongsi Faithfully Asean yang lain, kerana mengambil inisiatif menganjurkan program ini.


"Saya gembira dialog ini menyediakan platform untuk kumpulan agama dan etnik berbeza dari pelbagai negara dengan berinteraksi, mempelajari daripada satu sama lain, dan mencari jalan menggalakkan keamanan dan keharmonian bersama.


"Hanya apabila setiap seorang daripada kita memahami nilai keamanan dan keharmonian dan apa maknanya buat diri kita, keluarga dan masyarakat, kita akan mempunyai dorongan bagi memastikan ia tersebar dalam kalangan masyarakat dan dunia," kata Presiden Halimah pada pelancaran 'Faithfully Asean'.


"Ini (Faithfully Asean) satu langkah terhadap perkenalan, penghargaan dan penerimaan antara budaya dan antara agama serantau. Kami harap ia akan memangkinkan lebih banyak inisiatif praktikal untuk menggalakkan keharmonian demi kemanusiaan," kata Ketua Eksekutif Temasek Foundation Connects (TFC), Encik Lim Hock Chuang.




bottom of page